|
Imbasan
kenanganku dek kebisingan anak-anak kecil yang berlarian di gigi air sambil
diperhatikan oleh ibu dan ayah mereka. Begitu bahagia sekali suasana itu. Jika
aku berada di tempat si ibu itu, aku juga pasti akan menjadi orang yang paling
bahagia, mempunyai suami yang penyayang dan anak-anak yang comel. Si ibu itu
mungkin seusia denganku atau mungkin aku lebih tua daripadanya. Hatiku berdetik…aku
juga mampu memiliki kebahagiaan itu tetapi juga mungkin kebahagiaan itu bukan
milik aku kerana aku masih lagi ke sini. Tanpa teman. Kadangkala aku merasakan
kedamaian apabila hidup sendiri sebegini tetapi kadangkala terasa juga sunyinya. Sekali lagi aku dikejutkan oleh jeritan dan pekikan riang anak-anak muda
yang sedang mandi-manda. Kehadiran mereka tak kusedari. Betapa jauhnya lamunanku.
Tak tersedar aku makin ramai manusia di sekitarku. Suasana menjadi semakin riuh.
Aku mula menapak ke ruang yang lebih tenang, agar terhindar dari bunyi yang
begitu membisingkan itu. Di atas batu di bawah pohon yang rimbun, sejuk
suasananya menjadi singgahsana baruku. Ketenangan sebegini melambai rasa rinduku pada ibu. Wajah tua yang selalu
menjadi idola hidupku. Semangat, keringat dan daya juangnya membesarkan aku
sepuluh beradik setelah kematian ayah, mengharung segala badai kehidupan amat
kukagumi. Rasanya sayang dan kasihku pada ibu tidak ada bandingannya. Tiada
penggantinya dan segala limpahan kasihnya membesarkan aku tiada mampu jua aku
membalas. Bertitik tolak dari inilah maka mungkin jua aku masih lagi sendiri.
Tiada teman..keinginanku untuk bersama ibu selamanya. Menjaga hari-hari tuanya
dan juga serik untuk aku jatuh cinta lagi. Pedih rasanya…tak tertanggung.
Hanya padaNya ku kumpul kekuatan dan semangat serta dorongan ibu jua. Pernah dulu aku didekati seseorang ketika aku berada di tahun dua pengajian.
Tetapi aku menolak perkenalannya secara baik. Hasratku ketika itu hanya satu
agar aku mendapat kejayaan yang cemerlang juga keranamu…ibu. Supaya aku
menjadi anak yang dapat dibanggai olehnya. Tetapi, pada tahun akhir pengajianku
prinsipku yang teguh telah cair. Dicairkan oleh seorang insan yang mulia. Tetapi
aku melukakan hatinya disebabkan kehadiran seorang insan lain yang amat aku…tetapi
aku dilukainya pula. Semuanya bermula ketika menyiapkan projek tahun akhir. Mungkin disebabkan
oleh rasa iri dengan rakan sekuliah yang mempunyai teman lelaki, aku
mencuba-cuba mendekati seseorang. Juga rakan sekuliahku. Namanya Faizal. Kata
teman-temanku dia telah putus tunang setahun yang lalu dan masih lagi sendiri.
Aku sebenarnya telah lama meminatinya, aku pinjamkan nota kuliahku padanya,
berbincang tentang subjek yang tidak difahami dan dari sinilah bermula
putik-putik cinta sehinggalah semester akhir. Aku pulang ke kampung halaman
untuk mencari peluang pekerjaan. Terasa juga peritnya mencari kerja. Tiga bulan
aku menganggur. Tentang hubunganku dengan Faizal, sebenarnya aku yang memulakan
hubungan ini. Aku rasa tidak janggal apabila 'perigi mencari timba'. Ketika berada di kampung, Faizal selalu menghubungiku melalui telefon
sehinggalah Faizal juga terpaksa balik ke kampung kerana di kampus tiada peluang
pekerjaan. Faizal orang Sabah. Untuk menghubungiku terpaksalah berjimat.
Kadang-kadang seminggu sekali, dua minggu sekali dan juga sebulan sekali. Tetapi,
ketika itu aku sabar menahan rindu. Setelah tiga bulan di kampung aku berpeluang
sekali lagi memijak tanah Kuala Lumpur untuk mendapatkan ijazahku. Fikirku hanya
satu, peluang untuk bertemunya. Mulanya Faizal nyatakan tidak akan hadir ke
konvokesyen tersebut. Masalah duit katanya tapi, pada hari bersejarah itu aku
tetap mencarinya. Aku percaya Faizal akan hadir juga. Rakan-rakan yang lain
tidak mengetahui hubunganku ini hanya teman rapat sahaja yang tahu iaitu Kak
Nor, Sally dan Pella. Rupa-rupanya Faizal datang juga tetapi kami tidak dapat
bertemu kerana kami bersama keluarga masing-masing. Setelah keluargaku pulang
aku menumpang di bilik (kolej) teman baikku, Iza. Aku tidak dapat menghubungi
Faizal kerana aku tidak tahu tempat tinggal sementaranya sehinggalah aku
diberitahu oleh kakak angkatku yang juga rakan sekuliahku yang Faizal telah pun
pulang ke Sabah. Aku sungguh sedih ketika itu. Untuk menghubungi hanyalah
melalui surat sahaja. Setelah seminggu di kampus aku mencuba untuk mencari pekerjaan. Seawal pagi
aku keluar dan petang aku pulang ke bilik sehingga kawanku menggelarkan aku
kereta Produa Kancil…pergerakannya yang licin dan senyap. Aku hampir-hampir
putus asa sehinggalah aku mengambil keputusan untuk balik semula ke kampung.
Tetapi dengan izinNya aku dimurahkan rezeki dan mendapat pekerjaan walaupun
bertaraf sementara. Aku menghubungi Sally di Melaka. Daripadanya aku dapat tahu
yang Faizal mencari-cari aku. Aku terus memberikan nombor telefonku pada Sally
dengan harapan Faizal akan menghubungi Sally lagi. Satu malam itu ketika aku keseorangan di rumah, deringan telefon nyaring
sekali. Satu getaran suara yang telah lama aku rindui. Tetapi perhubungan kami
tidak lama kerana hadirnya seorang jejaka setempat kerja denganku mula
menggoyahkan cintaku pada Faizal. Mungkin hubungan itu tidak sekuat mana kerana
jarak pemisah yang terlalu jauh dan kesukaran untuk berhubung. Dari hari ke hari
usikan Zaki menggamit putik cinta yang kurasa berlainan dengan cintaku pada
Faizal. Mungkinkah ini cinta pertamaku. Tetapi aku cuba juga untuk memusnahkan
rasa cinta itu daripada bertakhta di hatiku semampu yang boleh…kerana Faizal…aku
tidak mampu untuk melukakan hatinya. Zaki pernah menceritakan padaku dia pernah
dikecewakan. Dari gambar yang ditunjukkan jelas citarasanya yang terlalu tinggi.
Gadis yang cantik, tidak tertanding aku…gadis kampung yang dikurniakan Allah
dengan serba kekurangan. Tetapi, aku redha, bagiku kecantikan bukan penghalang
untuk aku maju dan berjaya dalam hidup aku. Hubungan kami dari sehari ke sehari semakin rapat, ditambah pula kami
terpaksa ke luar kampus untuk membuat penyelidikan beberapa hari. Satu atau dua
bulan mungkin aku mampu menahan perasaan. Namun terusik jua perasaan ini.
Tetapi selama itulah aku cuba untuk tidak menunjukkan sebarang riak dan
getar jiwaku padanya. Tetapi setakat mana kulakukan dapat juga dihidunya. Zaki
pernah menyatakan hasratnya padaku melalui kiasan tetapi aku buat tak tahu. Zaki
tahu hubunganku dengan Faizal malah turut mengenali Faizal. Kata Zaki, "Lagikan
sedang bertunang boleh dikacau inikan pula baru berkasih". "Saya suka
kat seorang budak perempuan…". Akulah yang dimaksudkannya, tetapi aku
buat tak tahu. Selalu juga Zaki telefon. Satu hari dia ingin menyatakan
hasratnya tetapi aku mengatakan tidak mahu mendengarnya. Walaupun, pada ketika
itu hatiku berdebar terlalu kencang. Sesungguhnya aku amat mencintainya seluruh
jiwaku. Untuk mengembalikan ingatanku pada Faizal aku hantarkan surat berserta
sebuah lagu "Kembali Terjalin". Faizal terus menghubungi aku dua
minggu atau sebulan sekali. Itu sudah baik bagi aku. Untuk melupakan kehadiran Zaki, aku memperkenalkannya kepada rakan baikku,
Iza. Sesungguhnya Iza tahu aku amat mencintai Zaki. Iza ketika itu baru putus
cinta dan bagi orang putus cinta mampu untuk buat apa saja. Rupanya Zaki
mempunyai ciri-ciri yang diminati Iza. Iza pula apa kurangnya cantik dan anak
orang berada, apatah lagi orang KL. Setelah setahun setengah bekerja bersama
Zaki berhenti dan membuka perniagaan sendiri. Tetapi dia tetap menghubungi aku.
Setiap kali panggilan yang dibuatnya aku selitkan dengan cerita kebaikan Iza
serta berkirim salam padanya. Mungkin sikapku itu menimbulkan kemarahan dan rasa
muaknya padaku. Zaki tidak lagi menelefon sebaliknya
Zaki berpaling pada Iza. Zaki mungkin ingin menyakiti hatiku. Pada hari konvokesyen Iza, Zaki hadir
dengan bunga mawar di tangan. Dengan lerekan senyuman yang aku rindu, setelah
beberapa bulan tidak bertemu. Sebenarnya semakin hari aku tidak bertemu semakin
itulah aku menahan rindu yang teramat sangat. Pernah aku mendail nombor telefon
rumahnya. Tetapi, bila diangkat aku letakkan gagang telefon secepat mungkin.
Terasa bodoh juga diri ini. Memang cinta boleh memabukkan orang. Aku dapat tahu
walau di mana Iza berada Zaki pasti menelefonnya. Ini menimbulkan cemburu di
hatiku. Cemburu aku makin bertambah apabila rakan serumahku yang baru adalah bekas
teman wanita Zaki, lawa orangnya. Sesekali Zaki menelefon bertanya khabar dan
peluang ini aku ambil untuk memberitahunya yang 'makwe'nya serumah denganku.
Rupanya tindakanku ini salah…membawa remuk yang mendalam di dalam jiwa ini.
Zaki mengambil peluang untuk memperbaiki hubungan mereka yang terputus. Mereka
keluar makan malam bersama. Aku tidak dapat tidur…kesal, cemburu, gembira
bercampur baur dan rasanya api cemburu yang mulai membara. Dua minggu sebelum aku menyatakan cintaku pada Zaki, aku menerima panggilan
terakhir daripada Faizal…terakhir dalam hidup ini. Aku memberitahu Faizal yang
hubungan kita tak mungkin ke mana, dia di Sabah dan aku di KL. Terlalu jauh
jaraknya dan mungkin tidak bersatu. Aku betul-betul tidak mampu menilai mana
intan dan mana kaca pada waktu itu dan juga tidak merasakan bagaimana hancurnya
hati Faizal ketika itu. Aku melafazkan kata-kata itu tanpa memikirkan apa yang
bakal berlaku. Ketika itu hanya
Zaki bertakhta di hatiku. Apa yang Faizal nyatakan hanyalah “ Maaflah kiranya
selama ini dia mengganggu hidup aku”. Sehingga kini ungkapan ini masih lagi
terngiang-ngiang di telingaku. Sedih, pilu…hanya tuhan yang tahu. Malam itu
malam yang membuatkan aku tidak dapat tidur hingga ke pagi lantaran kebodohan
aku atau sememangnya takdir yang telah termaktub. Aku menyatakan rasa cintaku kepada Zaki walaupun aku tahu aku tidak lagi
berada dalam senarai orang yang dicintainya. Zaki menolak cintaku dan jua
berkata “Aku tidak pernah menyintai sesiapa selain Zana”. Aku ungkit kembali
segala kata-katanya dulu dan dia menafikannya. Hatiku ketika itu sebak, ingin
menangis, tetapi aku kuatkan hati untuk berkata “Maaflah mengganggu”, sama
seperti luahan arwah Faizal kepadaku. Adakah ini balasan yang Allah berikan
kepadaku kerana menghancurkan hati seorang insan semulia Faizal yang telah pun
pergi menemui Ilahi. Kini hanya gambarnya pengubat luka. Segala bicara romantis
antara Faizal dan aku akan aku jadikan kenangan abadi dan buat Zaki seorang
lelaki yang mengajar aku erti sebuah kehidupan dan peritnya cinta juga tidak
sekali-kali aku melupainya. Akan aku jadikan panduan serta memori dalam hidup
ini. Ketika ini hanya Faizal dalam jiwaku…ke mana aku pergi pasti aku ingat
padanya. Di dalam dompetku masih lagi ada gambarnya untuk tatapanku di kala
sunyi dan aku tidak akan lupa menghadiahkan Al-Fatihah untuknya. Aku berdoa Zaki
akan bertemu insan istimewa dalam hidupnya dan juga mengharapkan kebahagiaannya
bersama insan yang dicintainya...Iza dan Zana kini sudah pun berkahwin dan yang
paling nyata…akulah orang yang paling bahagia kerana kedua-duanya tidak
menjadi milik Zaki. Ploooopppp…keceburrrr…terkejut aku…seorang remaja terjun ke laut,
perutku juga mula menyanyikan lagu irama dangdut…mahu makan rupanya. Aku
melangkah pulang ke tempat letak keretaku “Kembara”. Dalam perjalanan ke
kereta, aku menguatkan semangat “akan aku teruskan kehidupan ini dan mengejar
cita-citaku dan aku tidak akan dan tidak mungkin berpaling lagi”. Aku berselisih dengan seorang yang mirip Zaki atau
sememangnya Zaki…dan sejurus itu aku tidak berpaling lagi.
|