|
Semasa Abu Hassan mengerjakan ibadah haji tiba-tiba ia terpandang pada
seorang wanita yang berseri mukanya lalu ia berkata, “Demi Allah, aku tidak
pernah melihat wanita yang berseri wajahnya sebelum ini, tentu ia tidak pernah
menghadapi sebarang masalah.” Mendengarkan demikian lalu wanita itu menjawab,
“Apa yang kamu katakan itu tidak betul, aku sendiri sedang menanggung
penderitaan yang amat sangat dan dalam masalah ini tiada siapa yang boleh dipersalahkan.” Bagaimana boleh
terjadi demikian, tanya Abu Hassan . Jawab wanita ini, “Suatu hari suamiku
telah menyembelih seekor kambing dengan disaksikan oleh keempat-empat anakku.
Seorang telah berkahwin, dua masih kanak-kanak dan yang bongsunya masih menyusu. Berkatalah anakku yang tengah kepada adiknya, kamu ingin tahu bagaimana ayah kita menyembelih kambing?” Si adik pun mengangguk. Maka dilentangkan adiknya lalu disembelih. Melihatkan darah yang mengalir ia menjadi takut lalu lari ke hutan. Akhirnya ia dimakan oleh serigala di sana. Suamiku yang pergi mencarinya di hutan turut meninggal kerana kehausan. Aku pun keluar dari rumah untuk mencari suamiku dengan meninggalkan anak kecil. Anak ini pun meranggak ke dapur lalu ditariknya periuk yang sedang mendidih maka tersimbahlah air panas ke badannya dan ia mati di situ.
Berita ini sampai kepada anakku yang tua. Kerana terkejut ia jatuh
pengsan lalu mati. Kini tinggallah aku sebatang kara. Soal Hassan lagi,
“Bagaimana kamu boleh bersabar dengan ujian yang maha hebat ini?” Jawab
wanita ini, “Sesungguhnya antara kesabaran dan keluhan adalah dua jalan yang
berbeza. Sabar ialah dengan memperbaiki batiniah, membersihkan hati serta
menerima segala sesuatu itu kerana Allah. Adapun mengeluh adalah sifat dan tanda
orang yang tidak ikhlas pada Allah kerana ia tidak dapat menerima sesuatu itu
sebagai takdir untuknya.
|