|
Kemelesetan
disiplin dan keruntuhan moral pelajar di sekolah, merupakan satu
lagi perkara
yang mencabar dan
membebani semua
pihak terutamanya ibu bapa masa kini. Bagi mengatasi masalah ini, ia
memerlukan pembabitan pengaruh sekitar untuk menanganinya bersama. Gejala
tersebut kian parah berleluasa sehingga terdapat di kalangan pelajar yang
sanggup membakar sekolah kerana marahkan guru atau membalas dendam. Kenyataan
ini juga turut diakui oleh Kementerian Pendidikan yang menyifatkan salah laku
disiplin di kalangan pelajar kian meruncing dengan sekian ramai pelajar
menghadapi masalah personaliti dan keluarga. Persoalannya,
siapakah yang
harus dipersalahkan? Adakah
sistem pendidikan di negara kita masih belum mampu mencari formula bagi
menangani gejala ini? Atau adakah KBSM masih belum berkesan untuk membentuk
keperibadian dan moral pelajar-pelajar? Atau adakah sekolah tidak berperanan
untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar-pelajar? Atau
adakah ibu bapa sendiri tidak memainkan tanggungjawab yang sewajarnya dalam
mendidik anak-anak. Kalau
dirujuk kepada Falsafah Pendidikan Negara, kita dapat merumuskan bahawa kerajaan
berhasrat untuk melihat pendidikan di Malaysia sebagai alat untuk
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
(JERI). Begitu
juga dengan
KBSM, prinsip-prinsip yang digubal
jelas menampakkan usaha ke arah kesepaduan ilmu berasaskan konsep JERI
dan penekanan nilai-nilai murni. Namun persoalannya, kenapa timbul juga isu
keruntuhan moral dan salah laku disiplin di kalangan pelajar? Sebenarnya perkara
ini tidaklah menghairankan kita. Seberapa ramai manusia boleh menulis ribuan
falsafah dan prinsip-prinsipnya, namun setakat manakah pelaksanaannya dapat
direalisasikan secara ikhlas dan bersungguh-sungguh. Kita
tidak menafikan
usaha Kementerian
Pendidikan menampakkan keikhlasannya seperti memberikan lebih kuasa
kepada guru untuk mendisiplinkan pelajar dan sebagainya tetapi memadaikah hanya
Kementerian Pendidikan sahaja yang terlibat di dalam menangani kes ini. Dalam
senario hari ini, kita dapat melihat bahawa tidak ada kesepakatan dan kesepaduan
tindakan di antara kementerian-kementerian kerajaan untuk membendung masalah
disiplin di kalangan pelajar. Contoh yang dapat dilihat dengan jelas ialah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan. KDN
tidak sepatutnya bersikap lepas tangan kerana dengan bersikap demikian, gejala
tersebut akan menjadi bertambah parah dan boleh menjejaskan imej pendidikan di
negara ini. Sebagai contoh, KDN
bersikap acuh tak acuh dengan kebanjiran ratusan buku, majalah dan komik
berunsur tahyul, seks dan seram yang dikhuatiri boleh meracun minda dan
pemikiran pelajar-pelajar yang membanjiri gerai majalah dl sekitar ibu kota.
Begitu juga dengan kebanjiran pita video dan cakera padat video (VCD) lucah dan
ganas yang terlalu mudah diperolehi oleh pelajar di pasaran-pasaran tempatan.
Kemudahan tersebut menyebabkan remaja mudah terdedah dengan gejala-gejala sosial
yang boleh memberi kesan negatif kepada kelakuan mereka. Jadi, apakah tindakan
KDN selama ini? Peranan
Kementerian Penerangan juga
dipersoalkan di
dalam menangani masalah disiplin pelajar ini. Apakah peranan Kementerian
Penerangan terhadap pengaruh siaran media-media elektronik? Apakah selama ini mereka menyajikan
saluran yang
terbaik untuk
tontonan remaja
atau sebaliknya? Menurut kajian, media elektronik memainkan peranan
penting mendedahkan gejala-gejala negatif yang menjadi ikutan remaja hari ini.
Mengapa remaja kini bersikap liar, berpakaian punk dan rock kerana mereka
terpengaruh dengan rancangan TV yang menayangkan konsert, video klip kumpulan
rock yang berkelakuan dan berpakaian tidak senonoh yang bertentangan dengan
budaya kita. Media kita sungguh berani mempamerkan adegan-adegan yang tidak
sopan dan aksi-aksi wanita separuh bogel. Sekiranya beginilah sikap Kementerian
Penerangan, maka apakah lagi yang dapat diharapkan dari kementerian tersebut
untuk membentuk disiplin pelajar. Terdapat
juga pandangan masyarakat yang menganggap sekolah dan guru kurang profesional di
dalam mendidik para pelajar. Sejauh manakah kenyataan ini tepat? Berdasarkan
kajian sosiologi pendidikan, perubahan persepsi masyarakat masa kini terhadap
sekolah disebabkan kerana hakisan pewarisan 'budaya autokratik' sekolah. Budaya
autokratik yang menjadi asas utama institusi sekolah mulai hilang. Kerana itulah
peranan sekolah sebagai sebuah institusi, penitipan budaya, nilai dan ilmu mula
dipersoalkan oleh masyarakat terutamanya oleh ibu bapa. Rata-rata hari ini para
pendidik lebih suka menangani masalah disiplin pelajar melalui pendekatan
psikologi. Persoalannya, sejauh manakah kaedah ini dapat membendung salah laku
pelajar? Pada pandangan penulis, cara ini bukan tidak baik tetapi ada kalanya
kita patut juga berkeras dengan pelajar. Semuanya mengambil kira kesesuaian dan
tingkahlaku pelajar itu sendiri. Para
pendidik juga disarankan supaya menjalin hubungan yang positif dengan para
pelajar, di samping memperluaskan rangkaian hubungan dengan ibu bapa dan
masyarakat agar sikap prejudis dan saling tuduh menuduh di antara satu sama lain
dapat dielakkan. Hubungan tersebut dapat diwujudkan melalui PIBG ataupun Majlis
Pemuafakatan PIBG Nasional, di mana fungsinya amat penting dalam menangani
gejala sosial pelajar yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini. Akhir sekali,
peranan ibu bapa amat penting di dalam membentuk sahsiah dan perilaku anak-anak.
Ini kerana disiplin pelajar masih di bawah tanggungjawab ibu bapa, manakala guru
hanya bertindak sebagai pembantu dalam memberikan ilmu pengetahuan dan disiplin
dalaman. Ibu bapa perlu membekalkan anak-anak dengan asas-asas ilmu agama dan
membentuk mereka supaya mempunyai “jati diri” serta mempunyai “kawalan
diri”. Semuanya berada di tangan ibu bapa, mereka bebas untuk mencorakkan
kehidupan dan masa depan anak-anak mengikut resepi masing-masing. Namun
halangannya tetap ada kerana pengaruh persekitaran di mana anak-anak berada
lebih kuat mempengaruhi gaya hidup mereka. Maka di sinilah terletaknya peranan
dan kebijaksanaan ibu bapa.
|