|
Assalamualaikum,
sahabatku. Hai, terperanjat? Ingat aku lagi? Sudah kau lupa wajah teman mu yang
satu ini? Sesungguhnya aku tidak pasti, pernahkah kita berutus warkah sebelum
ini? Pernahkah kau membaca bingkisan warkahku dan aku pula menulis selembar
warkah buatmu? Entah. Tapi, aku rasa, soal pernah atau belum itu tidak penting.
Yang aulanya, kini kau sedang menatap warkah ku yang akan kau simpan sepanjang
hayat sebagai kenang-kenangan. Justeru, terima kasih kerana sudi membaca warkah
pertama dan terakhirku ini. Aku juga tidak tahu, apakah panggilan paling manja
yang mahu ku ucap buat dirimu di sini. Kata mu, engkau menuntut di Tanah
Seberang. Dan pacar lama mu tatkala di sana gemar memanggil engkau Um.
Um? Pelik benar bunyinya. Macam bunyi gedegum aja. Tapi yang anehnya ku
lihat kau begitu bangga bila dipanggil Um. Kalau begitu, aku akan
membahasakan diri mu sebagai Um jugalah sepanjang penulisan warkah yang
memeranjatkan mu ini. Okey.
Cerita apakah yang mahu ku ungkapkan buat mu? Cerita rumah kita yang berjiran di
Pinggiran Sg. Chinchin itukah? Atau cerita jiran-jiran kita yang hantu
Bollywood dan mabuk karaoke itu ? Atau cerita keaktifan PPU ? Atau cerita
guru-guru pelatih wanita yang kau minati? Atau cerita rekod-rekod SPB kita (hehehe)?
Atau cerita teman-teman yang bakal melangsungkan perkahwinan? Atau cerita
kehebatan pensyarah yang menjadi idola mu? Atau cerita novel ku yang bakal
diterbitkan? Atau cerita drama pantomim yang sama-sama kita pentaskan? Ya,
banyak sungguh ceritera. Tapi aku telah memilih satu ceritera yang belum pernah
kau dengar. Ceriteranya simple sahaja. Mahu tahu? Ia ceritera kelas
seksyenku semasa di Diploma Pendidikan di UIA dulu. Ia suatu catatan nostalgia. Um,
kau tahu aku di seksyen berapa? Aku di Seksyen 7. Aku ulang, SEKSYEN TUJUH!
Bagaimana aku boleh tercampak ke seksyen yang sungguh meriah itu, aku tidak tahu.
Apa menariknya seksyen kami, hanya mereka seramai 30 orang (16 lelaki dan 14
wanita) yang berada di dalamnya saja yang mengetahui. Kalau tak percaya, kau
boleh tanya pada Yahya Jamaluddin atau Zamri Jusoh yang pernah berebut mahu
menjadi ketua kelas kami (dua-dua nak jadi ketua, tetapi tiada siapa yang
mengalah). Sebagai orang tua yang telah lama merasai maung manisnya hidup
berumahtangga, mereka berdua ni, kami anggap sebagai bapak. Yahya pendiam
- duduk paling depan. Dan Zamri pembising - biasanya paling belakang, lantaran
selalu datang lambat. Kalau mereka berdua sebagai bapak, Rohana Che Bedolah pula
kami anggap sebagai mak. Mak kami ni sangat sporting. Ceria dan peramah
orangnya. Mak selalu datang lewat sedikit ke kuliah sebab katanya kena terlebih
dulu menghantar anak. Tambahan pula mak sedang membawa budak. Kesian mak!
Sementara anak-anak seksyen ini yang berbagai-bagai kerenah lagi, cukup
memeningkan kepalaku untuk ku ceritakan satu persatu. Tidak cukup ranjang warkah
ini jika mahu kutuliskan segalanya. Sungguh nostalgik, kau tahu! Walau beberapa
bulan cuma di dalam kelas ini, dari Jun 2000 hingga Februari 2001, sudah cukup
untuk aku mengingati nama ahli kelas ini. Dalam seramai 16 orang pemuda yang
mendiami seksyen ini, beberapa orang daripadanya telah berada di alam lain.
Bolehkah kita golongkan mereka ini sebagai golongan tua? (jangan marah!).
Antaranya, Kapten Sahudin, Mustaffa, Tengku Zahid, Wan Suhardi, dan Roslan. Yang
lain macam Idham, Yazid, Jauhari, Khairul Amin, Sapri, Norazamudin, Syarizal,
Suhaimi, Nasaruddin semuanya masih bujangan ketika itu. Dalam seramai 14 orang
pemudi, ada juga yang telah menjadi ibu orang. Tetapi seperti engkau juga, Um,
aku kadang-kadang keliru yang mana satu isteri orang atau yang masih solo. Payah
mahu dibezakan! Dan setelah berakhirnya diploma, aku tidak tahu lagi ke mana
perginya Al Najihah, Mazidah, Najdah, Suriawati, Sazilawati, Shukeriah, Siti
Sarwani, Siti Noriani, Suzaini, Wan Roslina, Zamila, Zailawati, dan Zuzita.
Benarlah kata seorang pensyarah, selepas berakhirnya Khemah Ibadat 2, sampai
mati pun belum tentu kita akan bertemu semula kenalan lama. Sahabatku
Um, Kau
tahu, banyak faktor yang menyebabkan kelas ini meriah. Faktor utamanya tentulah
keramahan kami semua. Tanyalah Puan Suhaila yang pernah mengiktiraf kelas kami
sebagai seksyen paling aktif dan membuatkan beliau tidak kering gusi. Barangkali
Suriawati bolehlah dinobatkan sebagai siswi teraktif, dan Syarizal bagi siswa.
Mereka berdua ni banyak sangat menyoal dan memberi argumen. Bukan sekadar
komplimen, namun kelas ini sebenarnya hampir lengkap dan hidup. Pelawak kelas
ini pun ramai macam Tengku Zahid, Zamri, dan Sapri. Bila ditanya soal agama,
kami ada empat orang pakar rujuk iaitu Khairul Amin dan Norazamudin, atau
Al Najihah dan Siti Sarwani. Bila diminta berpuisi atau berkawad, kami ada
Kapten Sahudin si penyair jalanan. Kami ada Yazid yang mahu jadi penulis. Kami
ada Jauhari yang boleh bernasyid dan bergendang. Kami ada Nasaruddin yang fasih
berbahasa Jawa; ada Zuzita dan Sapri yang boleh berbahasa Indonesia, dan ada
Roslan yang fasih berbahasa Arab kerana isterinya mek Arab. Dan kami juga ada
Mustaffa yang boleh bertaichi dan bersilat. Agaknya, saat bilakah paling
diingati dalam kelas ini, Um? Sesungguhnya ramai di antara kami tidak dapat
melupakan detik lucu tatkala kelas Sosiologi bersama Pok Nik. Kami dikehendaki
berlakon di depan kelas mengikut kumpulan. Ramai rupanya yang berbakat jadi
pelakon seperti Jauhari (aktor terbaik!), Syarizal, Nasaruddin, Suzaini (aktres
terbaik!), Siti Noriani, Rohana dan beberapa lagi. Kreatif sungguh mereka ini,
dari babak gadis nakal dan cikgu rimau hinggalah ke babak sensor
Fakhrul-Sarimah dalam pawagam pun turut dilakonkan! Pok Nik di belakang pun
hampir pecah perut ketawa. Um,
sewaktu membaca warkahku ini kau mengajar di mana? Harap-harap tidak ke
Bangladesh atau Danau Toba sudahlah ya. Sabah dan Sarawak tu masih dikira dekat
lagi. Walaupun sudah berjauhan begini, aku tetap ingat jasa pensyarah-pensyarah
yang pernah mengajar kami. Tidak tahu rasanya cara untuk kuucapkan terima kasih
kepada mereka. Antaranya, Dr. Ismail Sheikh Ahmad (ISA) yang mengajar Pedagogi (setiap
kali membuat RM aku terbayang mukanya). Juga Dr. Zaleha Izhab (Psikologi) cukup
mengingatkan aku pada Helah Bela Diri; Puan Suhaila Hussien (Falsafah) yang
bersemangat mengajar meskipun sedang sarat malah betah dengan kenakalan
kami; Bro. Azam Othman (Tasawwur) yang sporting dan ceria; Puan Haniza Rais (Kurikulum)
yang selalu senyum dan tertawa; dan pastinya tidak melupakan ayahanda
kami - Pok Nik (Dr. Nik Ahmad Hisham Ismail) yang sering memberikan kasih
sayang dan suntikan stimulus serta anjakan paradigma kepada kami. Biarpun
terpaksa berulang-alik ke Terengganu setiap minggu, Pok Nik tetap sabar dan
setia memilih bersama Seksyen 7. Alahai Um, aku mulai mengantuklah. Sekarang
sudah jauh tengah malam. Warkah ini makin seronok kutulis tapi isteriku sudah
memanggil-manggil di dalam. Nampaknya ada permintaan. Lantas, terpaksalah
nostalgia indah semasa kita di UIA dulu kubantutkan di sini. Akhirulkalam,
aku harap kau tekal dalam perjuangan dan cekal dalam kehidupan. Profesion guru
inikan kerjaya termulia. Jadikan ia saham kita di akhirat. Um, moga kau
gembira-bahagia di samping isteri (jadi juga kau dengan dia tu?) dan anak-anak.
Wah! Dengarnya produktif sungguh kau sekarang. Apa petuamu dapat kembar berderet
setiap tahun macam padi malinja? (Hahaha!). Doakan aku juga. Jumpa lagi. Wassalam.
Tahniah dan Syabas kepada Saudara Yazid kerana novelnya 'Sesegar Nailofar' memenangi tempat ketiga Pertandingan Novel anjuran Utusan Malaysia tahun 2001
|