Kesahihan Berita

 

 Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara-perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kemu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

Surah al-Hujurat: 6

Di dalam ayat di atas Allah menggariskan panduan tentang etika dan kriteria yang semestinya ada pada seorang Muslim iaitu menyampaikan sesuatu berita atau perkhabaran yang benar.  Perkhabaran yang benar atau salah boleh mempengaruhi minda dan pemikiran seseorang manusia itu.  Hikmah suruhan Allah ini jelas, iaitu supaya menjauhkan individu, masyarakat dan negara itu ditimpa musibah dan keburukan kesan daripada berita yang diterima.  Misalnya peristiwa fitnah palsu yang terjadi kepada Saidatina Aisyah isteri Rasulullah S.A.W sehingga menyebabkan kegoncangan dalam rumahtangganya. Akhirnya turun wahyu yang menafikan berita tersebut dalam surah An-Nur.

Ayat ini diturunkan mengenai tindakan kaum Muslimin yang sedia menghadapi tindakan terhadap sebuah kabilah setelah mendengar perkhabaran yang disampaikan tanpa meneliti kesahihannya. Diriwayatkan daripada Ahmad dan selainnya dengan sanad yang baik daripada Harith bin Dirar al-Khuzaie telah berkata: “Aku telah datang kepada Rasulullah s.a.w dan baginda menyeruku kepada Islam.  Aku telah disuruh untuk menunaikan zakat. Maka sesiapa yang menerima seruan Islam akan aku kumpulkan zakat mereka dan serahkan kepadamu.  Saya akan menunggu utusanmu di tempat sekian sekian”.  Lalu Harith pun kembali ke kaumnya dan menerangkan mereka tentang Islam dan kewajipan berzakat. Seruannya diterima dan ramailah yang menunaikan zakat. Kemudian Harith telah menunggu utusan Rasulullah S.A.W di tempat yang dijanjikan namun tiada kunjung tiba. Dia merasa kemungkinan Rasulullah telah murka kepadanya. Lantas dia pun memanggil kaumnya dan sambil berkata: “Sesungguhnya aku telah berjanji dengan Rasulullah S.A.W akan mengumpulkan zakat dan baginda akan mengutuskan seorang utusan dan baginda tidak pernah memungkiri janjinya.  Maka mereka pun bertolaklah untuk menemuinya.

Rasulullah telah mengutuskan utusannya iaitu Walid bin Uqbah untuk menemui kaum Harith tetapi apabila dia tiba di dalam perjalanan dilihatnya sekumpulan manusia sedang berkumpul. Dia menyangka bahawa kaum tersebut hendak menyerang dan membunuhnya lalu beliau pun berpatah balik. Sesampainya di Madinah beliau memberitahu Rasulullah bahawa ahli kampung tersebut mahu membunuhnya dan melarangnya daripada memungut zakat. Rasulullah telah menghantar angkatan ke sana dan di tengah jalan mereka bertemu dengan Hrauth dan kaumnya lalu bertanya: “Kepada siapa utusan ini dihantar?”. Mereka menjawab “Kepada engkau wahai Harith. Sesungguhnya Rasulullah telah S.A.W telah mengutuskan seorang utusan kepada engkau”.  Lalu dijawab oleh Harith “Demi Muhammad yang diutuskan dengan hak, kami tidak nampak pun dia datang kepada kami”.  Maka turunlah ayat yang mengingatkan kepada kaum Musliman supya menyelidiki dan meneliti kebenaran sesuatu berita yang disampaikan oleh seseorang agar tidak mengambil tindakan yang terburu-buru dan mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Jika ulama silam seperti ulama hadis dan fekah mempunyai sistem daripada melapor dan mempercayai maklumat palsu yang boleh menimbulkan fitnah dan perpecahan di kalangan umatnya. Media bukan sahaja sebagai pemberi maklumat malah boleh dijadikan penggerak minda masyarakat ke arah penghayatan Islam secara maksimum sejajar dengan konsep amal makruf nahi mungkar seandainya peneraju mereka berpegang kepada akidah dan norma keIslaman yang digariskan. Ia juga mampu menjadi pemangkin pembangunan insan yang mulia. Sebaliknya sesuatu laporan dan maklumat juga boleh memesongkan pemikiran sesebuah masyarakat dan negara dengan menyalurkan maklumat yang salah dan bertentangan lalu mempengaruhi budaya, pemikiran dan sebagainya.

Ada sesetengah pihak yang menggunakan media sebagai alat untuk menyampaikan propaganda dan memburuk-burukkan sesebuah masyarakat dan negara.  Inilah natijah apabila media dan saluran maklumat dikuasai oleh mereka yang tidak menjadikan akidah sebagai asas.  Di dalam era teknologi masa kini,  maklumat menjadi semakin penting untuk berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain.  Ia disebarkan dalam pelbagai cara melalui media massa, elektronik, internet dan sebagainya.  Dasar langit terbuka yang diamalkan menjadikan budaya, pemikiran, pengetahuan dan sebagainya terjajah. Segala maklumat boleh diperolehi dengan mudah walaupun berada beribu-ribu batu daripada kita.

Oleh itu kita hendaklah meneliti dan menyelidiki kebenaran sesuatu berita yang meragukan kita supaya terhindar daripada kemungkaran dan fitnah. Sehubungan itu kita perlu menguasai dan memanfaat kemudahan teknologi yang ada bertujuan untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Kesimpulannya, media dengan segala bentuk kecanggihan teknologinya hendaklah dilihat oleh masyarakat Islam sebagai satu wadah jihad yang utama demi mempertahankan yang hak dan menghancurkan yang batil sesuai dengan situasi semasa.

 

ke atas

ke Laman Karya