Profesion Perguruan

 

Assalamualaikum  Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang dikasihi Tuan Guru Besar, guru-guru, para ibu bapa serta pelajar-pelajar  sekalian. Tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah  "Profesion Perguruan  Adalah Suatu Yang Bernilai Tinggi".

Sesungguhnya para pendidik pada hari ini telah memainkan  peranan penting di dalam  merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangkan  kewujudan integrasi nasional yang  menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

Para hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulamak.  Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah. Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai–nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.

Para hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Para pendidik  juga berperanan  menerapkan nilai kerjasama dan toleransi di kalangan pelajar.  Jika kita lihat, orang-orang Islam telah diikat oleh satu peraturan supaya hidup berjiran dan bersahabat dengan mereka. Hak jiran tidak boleh dikurangi dan tidak boleh boleh dilanggar sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam pembentukan negara Islam.  Dengan ini, terciptalah satu masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan demi mewujudkan kebahagiaan bersama dalam satu masyarakat dan satu negara.  Sikap toleransi yang diterapkan oleh guru dapat membentuk hubungan yang baik dalam masyarakat yang mampu melahirkan integrasi nasional.

Pada hari ini, marilah kita mengenang sumbangan para guru kepada anak bangsa di negara kita.  Guru merupakan golongan pendidik yang banyak berjasa serta menabur bakti untuk memberi pendidikan kepada anak-anak kita.  Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan para pelajar harus dan wajar memberi penghormatan serta pengiktirafan yang tertinggi atas pengorbanan dan sumbangan guru-guru mereka yang sentiasa bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah mendidik anak bangsa kita.  Kita juga harus meletakkan martabat guru pada kedudukan yang tinggi dan mulia kerana para guru adalah penentu masa depan generasi muda. Prestasi, imej dan kualiti perkhidmatan mereka yang cemerlang akan melahirkan pelajar yang cemerlang dan seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat yang maju dan cemerlang juga.  Golongan pendidik adalah seperti lilin, membakarkan diri demi menerangi orang lain.  Oleh sebab itu profesion guru disanjung tinggi oleh masyarakat.

Pada hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,

Kita perlu sama-sama merealisasikan Wawasan 2020 seperti yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.  Kerajaan menghargai sumbangan guru dengan mengistiharkan tanggal 16 Mei pada setiap tahun bermula dari Tahun 1975 sebagai Hari Guru.  Ini salah satu usaha kerajaan untuk mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa baik para guru.  Saya berharap para guru akan terus berusaha untuk menyemaikan dan menyuburkan budaya ilmu di kalangan anak-anak agar kita dapat mencapai sebuah negara yang maju dan unggul pada masa depan.

Guru ialah orang yang menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita supaya menjadi orang yang berguna kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara.  Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting yang amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagian hidup, sama ada di dunia mahupun di akhirat.  Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketaqwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit. Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti yang ditegaskan oleh Al-Quran:

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat”

Mereka yang berilmu diberi kedudukan yang paling tinggi serta dijadikan sebagai saksi kepada manusia lain serta Allah dan para malaikat.  Mereka juga diberi kedudukan yang teristimewa sesudah para nabi, khususnya umat Rasulullah S.A.W.  Mereka diberikan tanggung-jawab untuk menyampaikan seruan, memimpin umat dan mentadbirkannya selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.  Dengan kata lain, mereka sebagai pewaris yang mempusakai tugas Rasulullah S.A.W selepas kewafatan baginda.

Sidang Hadirin Yang Di Hormati Sekelian,

Imam Ghazali menyatakan, tidak ada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tidak ada kemulian yang lebih mulia daripada menjadi pewaris martabat kenabian.  Kelebihan ilmu pengetahuan juga dapat ditanggapi daripada perutusan Rasulullah S.A.W. Disamping menjadi Rasul, baginda juga berperanan sebagai seorang guru dan pendidik. Allah menegaskan:

Ertinya: Maka sesungguhnya kewajipan Rasul kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

Ertinya: Sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru.

 

Bak kata pepatah jasa guru umpama air mengalir dari anak sungai hingga ke dasar lautan.

Merujuk kepada Al-Quran Al-Karim, Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang bermaksud :

"Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Melalui ayat itu diperjelaskan tentang martabat dan kedudukan tinggi dan mulia para ulamak. Pendidikan adalah aset penting yang menghala tuju pembangunan negara serta aset mahal dalam pembinaan minda manusia serta alat untuk mewujudkan jati diri atau keperibadian yang unggul.

Sidang Hadirin Yang Di Hormati Sekalian,

Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi, dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui 'online'.  Para guru pada hari ini telah  bersikap produktif, proaktif dan responsif terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju.  Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.  Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut.  Tahniah diucapkan kepada para guru!

Penguasaan ilmu yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, insya-Allah akan dapat melahirkan generasi yang berilmu, bertakwa, berkualiti, mampu bersaing dan bersesuaian dengan kehendak pergolakan dunia pada alaf baru ini.

Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu di kalangan kita semua.  Oleh yang demikian, profesion perguruan adalah merupakan satu profesion yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT dan sepatutnya kita menyanjung tinggi terhadap jasa yang mereka curahkan kepada anak bangsa kita.  Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmannya di dalam Surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud;

"Katakanlah : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya  orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran"

Akhir sekali, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa profesion perguruan ini adalah suatu yang bernilai tinggi.  Marilah sama-sama kita tingkatkan martabat ini di mata masyarakat demi merealisasikan sebuah negara yang mempunyai bangsa  yang terkenal dengan kekayaan ilmuannya di mata dunia.

Saya akhiri pidato saya pada hari ini dengan serangkap pantun :

 

Tetak buluh panjang sepuluh,

Jangan dijolok sarang tebuan,

Angkat tangan jari sepuluh,

Salah silap harap maafkan.

 

Sesungguhnya segala yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu adalah dari kelemahan saya sendiri, saya sudahi dengan ucapan, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah.

Pemenang Ketiga Pidato Edux2000

 

ke atas

ke Laman Karya