Pengakap

 

Sebagai seorang bakal guru alaf baru keluaran sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa, maka sepatutnya anda memiliki kapasiti ilmu dan kemahiran yang boleh dibanggakan walaupun tidak menguasai keseluruhannya. Kegiatan ko-kurikulum merupakan antara bidang yang bakal anda kendalikan sama ada anda bersedia atau tidak. Apakah yang bakal anda laksanakan sekiranya anda diminta menubuhkan dan mengendalikan sebuah pasukan pengakap di sekolah yang bakal anda berkhidmat?

Penulis pernah diberi peluang berkhidmat di salah sebuah sekolah SMKA selama beberapa bulan. Apa yang difokuskan di sini ialah bagaimana seorang guru yang telah diamanahkan untuk menubuhkan dan mengendalikan sebuah pasukan pengakap sekolah.  Beliau ternyata langsung tidak berpengalaman untuk mengendalikan badan beruniform ini. Walaupun perjumpaan dijalankan setiap dua minggu sekali, namun pengisiannya tidak sedikit pun mengikut skima dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia, malah pasukan sekolah tersebut bergerak secara haram kerana tidak didaftarkan penubuhannya! Penulisan ringkas ini adalah untuk memberikan sedikit panduan dan gambaran umum kepada anda tentang pengakap, moga-moga anda tidak senasib sebagaimana guru malang tersebut.

Pergerakan Pengakap di Malaysia telah ditubuhkan mengikut Akta Parlimen No. 38, tahun 1968 dengan pindaan 143 tahun 1974. Oleh itu sebarang pindaan terhadap Pergerakan ini perlu dilakukan di dalam parlimen Malaysia.

Pergerakan ini mempunyai tujuan, prinsip dan undang-undang yang tersendiri.  Secara ringkasnya, sebagaimana berikut :

a.       Tujuan

q       Membantu   perkembangan   intelek,   rohani,   emosi   dan jasmani anggota.

q       Menyumbang ke arah pembangunan negara

q       Mewujudkan warganegara yang bertanggungjawab

b.       Prinsip

q       Penghayatan konsep Ketuhanan

q       Bertimbangrasa terhadap hak asasi manusia

q       Berkeyakinan

c.        Undang-undang

q       Berteraskan ajaran agama

q       Persetiaan dan undang-undang tersendiri

Persetiaan Pengakap

"Bahawa dengan sesungguhnya saya berjanji dan bersetia yang saya dengan sedaya upaya saya akan taat kepada Tuhan, raja dan negara, menolong  orang  pada  setiap  masa  dan menurut undang-undang Pengakap"

Undang-undang Pengakap

-  Dipercayai

-  Taat

-  Berguna

-  Bersaudara

-  Berbudi

-  Kasihkan binatang

-  Menurut perintah

-  Tabah hati

-  Bejimat cermat

-  Suci fikiran, perkataan dan perbuatan

Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anda diminta mengemudi Pasukan Pengakap di sekolah nanti ?. Panduan ini hanya secara ringkas sebagai asas bagi anda. Antara yang perlu anda lakukan ialah:

q       Pastikan   pasukan    Pengakap   sekolah   tersebut   telah   didaftarkan penubuhannya dan mendapat nombor pendaftaran khusus. Sekiranya masih belum didaftarkan anda perlu mendaftarkannya dengan mengisi borang (PPM 8) dan menyertakan bayaran sebanyak RM 10.00 sahaja.  Anda perlu merujuk kepada Pesuruhjaya Pengakap Daerah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat.

q       Mendaftarkan pelajar anda sebagai ahli Persekutuan Pengakap Malaysia pada tiap-tiap tahun sebelum bulan April. Yurannya adalah RM 2.00 untuk setiap ahli dan RM 5.00 untuk pemimpin. Sebagai pemimpin, anda juga  perlu  mendapat tauliah  untuk  mengendalikan  satu  pasukan Pengakap.

q       Membentuk ahli kumpulan kepada beberapa patrol setiap satu seramai 6 hingga 8 anggota yang diketuai oleh seorang Ketua Patrol.

q       Menubuhkan Majlis Ketua Patrol untuk merancang aktiviti. Majlis ini dianggotai oleh Ketua bagi setiap Patrol. Anda sebagai Penasihat bagi Majlis ini.

q       Merancang aktiviti mingguan, bulanan, dan tahunan serta latihan yang sesuai. Pada peringkat sekolah menengah anggota pengakap dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut peringkat umur.

-  Pengakap Muda (Tingkatan I hingga Tingkatan 3)

-  Pengakap Remaja (Tingkatan 4 hingga Tingkatan 5)

 

Setiap  kategori  mempunyai  Skima  Latihan  yang  tersendiri (anda dinasihatkan untuk mendapatkan buku-buku  skima  latihan  sebagai panduan). Apabila seorang ahli pengakap berjaya menjalani program latihan yang telah ditetapkan, beliau layak untuk menghadiri Pentarafan Pengakap Raja. la merupakan ujian terakhir untuk mendapat anugerah tertinggi pada peringkat ini iaitu Anugerah Pengakap Raja. Anugerah ini dikurniakan sendiri oleh Sultan negeri di mana ahli pengakap itu berada. la menjadi impian setiap ahli Pengakap di Malaysia.

q       Mengadakan sebuah Bilik Gerakan.

q       Memastikan stok alatan kumpulan sentiasa dikemaskini.

q       Setiap   kegiatan    perlu   direkodkan   dalam    buku   log    untuk   rujukan kemajuan.

Perlu diingatkan bahawa terdapat tanggapan bahawa aktiviti-aktiviti Pengakap adalah  melalaikan  dan  kebaratan  serta  dianggap tidak Islamik.  Namun berdasarkan pengalaman, program latihan yang disusun cukup bermanfaat kepada ahli untuk membekalkan kemahiran dan pengalaman yang tidak diperolehi di bilik-bilik darjah.  Anda sebagai Pemimpin kumpulan sebenarnya mempengaruhi arah dan perjalanan kumpulan sama ada ke arah yang lebih Islamik atau tidak. Tanggungjawab anda adalah cukup besar untuk menerapkan nilai-nilai Islam merentas semua kegiatan yang dirancang agar ia tidak sia-sia dan melalaikan. Semoga usaha menjadi ibadah dan mendpat ganjaran dariNya.

Demikianlah secara ringkasnya beberapa perkara yang anda perlu dititikberatkan untuk mengendalikan sebuah Pasukan Pengakap. Masih banyak lagi pengetahuan dan kemahiran yang perlu anda dalami untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Semoga ia memberi manfaat kepada anda sekalian.

 

ke atas

ke Laman Karya