Sifat Negatif

 

 Fitrah semulajadi manusia ini terbahagi kepada dua:

1.       Fitrah yang positif(sifat mahmudah atau terpuji)

2.       Fitrah yang negatif(sifat mazmumah atau keji)

Sifat-sifat ini adalah sifat batin semulajadi manusia, ia telah dibekalkan oleh Allah sejak manusia itu dilahirkan lagi. Ia akan terus sebati di dalam jiwa kita. Contohnya sifat marah, benci, sedih, gembira, dendam dan sebagainya. Ini adalah merupakan ujian kepada insan bagi menentukan siapakah yang baik dan tidak baik.

Firman Allah Taala dalam surah al-Balad: 10, yang bermaksud:

“Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan(jalan kebaikan dan jalan kejahatan)”

Sekiranya seseorang itu teguh dengan keimanan dan ketaqwaan maka jiwanya akan mendorong dirinya kepada sifat-sifat positif. Sebaliknya orang yang tidak menjadikan keimanan kepada Allah sebagai sandaran maka ia mudah terdorong kepada sifat negatif. Oleh itu bagaimanakah kita hendak mengikis sifat negatif dalam diri kita? Apakah contoh sifat mahmudah itu?

Sebelum kita mengetahui langkah-langkah mengikis sifat negatif, kita perhatikan dahulu sifat-sifat jiwa yang positif agar dapat disuburkan dalam jiwa:

·          Cintakan kebaikan dan kebenaran

·          Rasa bersalah bila buat kejahatan dan maksiat

·          Ingin menolong orang yang susah

·          Bersimpati dengan orang yang teraniaya

·          Malu melakukan perkara-perkara yang aib

·          Ingatkan Tuhan dan selalu memohon pertolongan dariNya

·          Gembira apabila mendengar sesuatu kebaikan

·          Benci apabila melihat kemungkaran

·          Sayang dengan saudara seIslam

 Cuba kita senaraikan pula sifat jiwa yang negatif sebagai panduan:

·          Rasa megah diri dengan kemewahan dan nikmat yang diperolehi

·          Suka dipuji dan marah apabila dikeji

·          Berhasad dengki apabila melihat seseorang lebih daripadanya

·          Berdendam dengan makhluk

·          Benci dengan orang-orang yang miskin dan hina

·          Menyombong diri dan merasai dirinya lebih daripada yang lain

·          Tiada perasaan malu membuat kemungkaran

·          Gembira melihat orang lain susah

Secara teori dan perhatian banyak lagi yang boleh kita ketahui samada sifat mahmudah atau mazmumah yang ditunjukkan oleh Allah di dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. Namun yang baik itu hendaklah dijadikan teladan dan dihayati dan disuburkan dalam diri dan yang buruk itu dijadikan sempadan. Caranya ialah dengan mengikis sedikit demi sedikit sifat negatif dalam jiwa. Ingatlah bahawa hasad dengki dan berdendam untuk merampas kenikmatan yang dimiliki oleh seseorang itu dikeji oleh Allah. Hasad dengki umpama api dalam sekam yang memakan segala amalan kita tanpa disedari. Bukan sahaja kita dibenci masyarakat malah Allah juga membenci orang yang demikian.

Bertaubat adalah cara yang sebaiknya untuk kita membuang perasaan ini. Tanamkan perasaan kasih sayang kepada keluarga kita dengan sepenuh keikhlasan hati. Perasaan takut atau fobia juga merupakan satu fenomena yang melanda mesyarakat Islam hari ini. Takut kepada makhluk dan sebagainya adalah satu perkara yang patut kita elakkan. Hendaklah diingatkan bahawa makhluk tidak memberikan apa-apa bekas atau mudarat. Contohnya jika kita takut kepada seseorang atau sehinggakan kita sanggup tunduk dan berbuat apa sahaja suruhannya. Takut mati kerana terkena penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh hingga patah semangat untuk hidup dan tidak berusaha berdoa dan melakukan ikhtiar. Perasaan ini hendaklah dikikis dengan mengingati kekuasaan Allah dan memotivasi serta mendisiplinkan diri.

Tingkatkan keyakinan diri dan bertawakkal kepada Allah. Seandainya kita seorang yang panas baran dan mempunyai perasaan marah yang keterlaluan sehingga boleh menimbulkan pergaduhan dan sengketa sesama manusia, kita hendaklah membendung dengan cara yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W dengan mengawal perasaan marah. Andainya sedang berdiri kita duduk dan sekiranya tidak reda juga cubalah berbaring dan akhirnya mengambil wuduk. Ingatlah bahawa Allah akan mengampunkan dosa  orang yang pemaaf dan menahan kemarahannya.

Kesimpulannya semua sifat negatif hendaklah dikikis secara konsisten, istiqamah dan diisi kekosongannya dengan sifat mahmudah yang diredhai oleh Allah. Kita harus bijak menggunakan pertimbangan akal, hati dan iman untuk melawan hawa nafsu yang memang sentiasa menggoda jiwa ke arah keburukan. Terpulanglah kepada diri masing-masing untuk memilih dua jalan yang telah ditunjukkan oleh Allah.

Firman Allah yang maksudnya:

 “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan hatinya(nafsu) dan rugilah orang mengotorinya”

As-Syam: 9-10  

 

ke atas

ke Laman Karya