Memori Semalam

 

                 Imbasan kenanganku dek kebisingan anak-anak kecil yang berlarian di gigi air sambil diperhatikan oleh ibu dan ayah mereka. Begitu bahagia sekali suasana itu. Jika aku berada di tempat si ibu itu, aku juga pasti akan menjadi orang yang paling bahagia, mempunyai suami yang penyayang dan anak-anak yang comel. Si ibu itu mungkin seusia denganku atau mungkin aku lebih tua daripadanya. Hatiku berdetik…aku juga mampu memiliki kebahagiaan itu tetapi juga mungkin kebahagiaan itu bukan milik aku kerana aku masih lagi ke sini. Tanpa teman. Kadangkala aku merasakan kedamaian apabila hidup sendiri sebegini tetapi kadangkala terasa juga sunyinya.

Sekali lagi aku dikejutkan oleh jeritan dan pekikan riang anak-anak muda yang sedang mandi-manda. Kehadiran mereka tak kusedari. Betapa jauhnya lamunanku. Tak tersedar aku makin ramai manusia di sekitarku. Suasana menjadi semakin riuh. Aku mula menapak ke ruang yang lebih tenang, agar terhindar dari bunyi yang begitu membisingkan itu. Di atas batu di bawah pohon yang rimbun, sejuk suasananya menjadi singgahsana baruku.

Ketenangan sebegini melambai rasa rinduku pada ibu. Wajah tua yang selalu menjadi idola hidupku. Semangat, keringat dan daya juangnya membesarkan aku sepuluh beradik setelah kematian ayah, mengharung segala badai kehidupan amat kukagumi. Rasanya sayang dan kasihku pada ibu tidak ada bandingannya. Tiada penggantinya dan segala limpahan kasihnya membesarkan aku tiada mampu jua aku membalas. Bertitik tolak dari inilah maka mungkin jua aku masih lagi sendiri. Tiada teman..keinginanku untuk bersama ibu selamanya. Menjaga hari-hari tuanya dan juga serik untuk aku jatuh cinta lagi. Pedih rasanya…tak tertanggung. Hanya padaNya ku kumpul kekuatan dan semangat serta dorongan ibu jua.

Pernah dulu aku didekati seseorang ketika aku berada di tahun dua pengajian. Tetapi aku menolak perkenalannya secara baik. Hasratku ketika itu hanya satu agar aku mendapat kejayaan yang cemerlang juga keranamu…ibu. Supaya aku menjadi anak yang dapat dibanggai olehnya. Tetapi, pada tahun akhir pengajianku prinsipku yang teguh telah cair. Dicairkan oleh seorang insan yang mulia. Tetapi aku melukakan hatinya disebabkan kehadiran seorang insan lain yang amat aku…tetapi aku dilukainya pula.

Semuanya bermula ketika menyiapkan projek tahun akhir. Mungkin disebabkan oleh rasa iri dengan rakan sekuliah yang mempunyai teman lelaki, aku mencuba-cuba mendekati seseorang. Juga rakan sekuliahku. Namanya Faizal. Kata teman-temanku dia telah putus tunang setahun yang lalu dan masih lagi sendiri. Aku sebenarnya telah lama meminatinya, aku pinjamkan nota kuliahku padanya, berbincang tentang subjek yang tidak difahami dan dari sinilah bermula putik-putik cinta sehinggalah semester akhir. Aku pulang ke kampung halaman untuk mencari peluang pekerjaan. Terasa juga peritnya mencari kerja. Tiga bulan aku menganggur. Tentang hubunganku dengan Faizal, sebenarnya aku yang memulakan hubungan ini. Aku rasa tidak janggal apabila 'perigi mencari timba'.

Ketika berada di kampung, Faizal selalu menghubungiku melalui telefon sehinggalah Faizal juga terpaksa balik ke kampung kerana di kampus tiada peluang pekerjaan. Faizal orang Sabah. Untuk menghubungiku terpaksalah berjimat. Kadang-kadang seminggu sekali, dua minggu sekali dan juga sebulan sekali. Tetapi, ketika itu aku sabar menahan rindu. Setelah tiga bulan di kampung aku berpeluang sekali lagi memijak tanah Kuala Lumpur untuk mendapatkan ijazahku. Fikirku hanya satu, peluang untuk bertemunya. Mulanya Faizal nyatakan tidak akan hadir ke konvokesyen tersebut. Masalah duit katanya tapi, pada hari bersejarah itu aku tetap mencarinya. Aku percaya Faizal akan hadir juga. Rakan-rakan yang lain tidak mengetahui hubunganku ini hanya teman rapat sahaja yang tahu iaitu Kak Nor, Sally dan Pella. Rupa-rupanya Faizal datang juga tetapi kami tidak dapat bertemu kerana kami bersama keluarga masing-masing. Setelah keluargaku pulang aku menumpang di bilik (kolej) teman baikku, Iza. Aku tidak dapat menghubungi Faizal kerana aku tidak tahu tempat tinggal sementaranya sehinggalah aku diberitahu oleh kakak angkatku yang juga rakan sekuliahku yang Faizal telah pun pulang ke Sabah. Aku sungguh sedih ketika itu. Untuk menghubungi hanyalah melalui surat sahaja.

Setelah seminggu di kampus aku mencuba untuk mencari pekerjaan. Seawal pagi aku keluar dan petang aku pulang ke bilik sehingga kawanku menggelarkan aku kereta Produa Kancil…pergerakannya yang licin dan senyap. Aku hampir-hampir putus asa sehinggalah aku mengambil keputusan untuk balik semula ke kampung. Tetapi dengan izinNya aku dimurahkan rezeki dan mendapat pekerjaan walaupun bertaraf sementara. Aku menghubungi Sally di Melaka. Daripadanya aku dapat tahu yang Faizal mencari-cari aku. Aku terus memberikan nombor telefonku pada Sally dengan harapan Faizal akan menghubungi Sally lagi.

Satu malam itu ketika aku keseorangan di rumah, deringan telefon nyaring sekali. Satu getaran suara yang telah lama aku rindui. Tetapi perhubungan kami tidak lama kerana hadirnya seorang jejaka setempat kerja denganku mula menggoyahkan cintaku pada Faizal. Mungkin hubungan itu tidak sekuat mana kerana jarak pemisah yang terlalu jauh dan kesukaran untuk berhubung. Dari hari ke hari usikan Zaki menggamit putik cinta yang kurasa berlainan dengan cintaku pada Faizal. Mungkinkah ini cinta pertamaku. Tetapi aku cuba juga untuk memusnahkan rasa cinta itu daripada bertakhta di hatiku semampu yang boleh…kerana Faizal…aku tidak mampu untuk melukakan hatinya. Zaki pernah menceritakan padaku dia pernah dikecewakan. Dari gambar yang ditunjukkan jelas citarasanya yang terlalu tinggi. Gadis yang cantik, tidak tertanding aku…gadis kampung yang dikurniakan Allah dengan serba kekurangan. Tetapi, aku redha, bagiku kecantikan bukan penghalang untuk aku maju dan berjaya dalam hidup aku.

Hubungan kami dari sehari ke sehari semakin rapat, ditambah pula kami terpaksa ke luar kampus untuk membuat penyelidikan beberapa hari. Satu atau dua bulan mungkin aku mampu menahan perasaan. Namun terusik jua perasaan ini.  Tetapi selama itulah aku cuba untuk tidak menunjukkan sebarang riak dan getar jiwaku padanya. Tetapi setakat mana kulakukan dapat juga dihidunya. Zaki pernah menyatakan hasratnya padaku melalui kiasan tetapi aku buat tak tahu. Zaki tahu hubunganku dengan Faizal malah turut mengenali Faizal. Kata Zaki, "Lagikan sedang bertunang boleh dikacau inikan pula baru berkasih". "Saya suka kat seorang budak perempuan…". Akulah yang dimaksudkannya, tetapi aku buat tak tahu. Selalu juga Zaki telefon. Satu hari dia ingin menyatakan hasratnya tetapi aku mengatakan tidak mahu mendengarnya. Walaupun, pada ketika itu hatiku berdebar terlalu kencang. Sesungguhnya aku amat mencintainya seluruh jiwaku. Untuk mengembalikan ingatanku pada Faizal aku hantarkan surat berserta sebuah lagu "Kembali Terjalin". Faizal terus menghubungi aku dua minggu atau sebulan sekali. Itu sudah baik bagi aku.

Untuk melupakan kehadiran Zaki, aku memperkenalkannya kepada rakan baikku, Iza. Sesungguhnya Iza tahu aku amat mencintai Zaki. Iza ketika itu baru putus cinta dan bagi orang putus cinta mampu untuk buat apa saja. Rupanya Zaki mempunyai ciri-ciri yang diminati Iza. Iza pula apa kurangnya cantik dan anak orang berada, apatah lagi orang KL. Setelah setahun setengah bekerja bersama Zaki berhenti dan membuka perniagaan sendiri. Tetapi dia tetap menghubungi aku. Setiap kali panggilan yang dibuatnya aku selitkan dengan cerita kebaikan Iza serta berkirim salam padanya. Mungkin sikapku itu menimbulkan kemarahan dan rasa muaknya padaku. Zaki tidak lagi menelefon sebaliknya  Zaki berpaling pada Iza.

Zaki mungkin ingin menyakiti hatiku. Pada hari konvokesyen Iza, Zaki hadir dengan bunga mawar di tangan. Dengan lerekan senyuman yang aku rindu, setelah beberapa bulan tidak bertemu. Sebenarnya semakin hari aku tidak bertemu semakin itulah aku menahan rindu yang teramat sangat. Pernah aku mendail nombor telefon rumahnya. Tetapi, bila diangkat aku letakkan gagang telefon secepat mungkin. Terasa bodoh juga diri ini. Memang cinta boleh memabukkan orang. Aku dapat tahu walau di mana Iza berada Zaki pasti menelefonnya. Ini menimbulkan cemburu di hatiku.

Cemburu aku makin bertambah apabila rakan serumahku yang baru adalah bekas teman wanita Zaki, lawa orangnya. Sesekali Zaki menelefon bertanya khabar dan peluang ini aku ambil untuk memberitahunya yang 'makwe'nya serumah denganku. Rupanya tindakanku ini salah…membawa remuk yang mendalam di dalam jiwa ini. Zaki mengambil peluang untuk memperbaiki hubungan mereka yang terputus. Mereka keluar makan malam bersama. Aku tidak dapat tidur…kesal, cemburu, gembira bercampur baur dan rasanya api cemburu yang mulai membara.

Dua minggu sebelum aku menyatakan cintaku pada Zaki, aku menerima panggilan terakhir daripada Faizal…terakhir dalam hidup ini. Aku memberitahu Faizal yang hubungan kita tak mungkin ke mana, dia di Sabah dan aku di KL. Terlalu jauh jaraknya dan mungkin tidak bersatu. Aku betul-betul tidak mampu menilai mana intan dan mana kaca pada waktu itu dan juga tidak merasakan bagaimana hancurnya hati Faizal ketika itu. Aku melafazkan kata-kata itu tanpa memikirkan apa yang bakal berlaku. Ketika itu  hanya Zaki bertakhta di hatiku. Apa yang Faizal nyatakan hanyalah “ Maaflah kiranya selama ini dia mengganggu hidup aku”. Sehingga kini ungkapan ini masih lagi terngiang-ngiang di telingaku. Sedih, pilu…hanya tuhan yang tahu. Malam itu malam yang membuatkan aku tidak dapat tidur hingga ke pagi lantaran kebodohan aku atau sememangnya takdir yang telah termaktub.

Aku menyatakan rasa cintaku kepada Zaki walaupun aku tahu aku tidak lagi berada dalam senarai orang yang dicintainya. Zaki menolak cintaku dan jua berkata “Aku tidak pernah menyintai sesiapa selain Zana”. Aku ungkit kembali segala kata-katanya dulu dan dia menafikannya. Hatiku ketika itu sebak, ingin menangis, tetapi aku kuatkan hati untuk berkata “Maaflah mengganggu”, sama seperti luahan arwah Faizal kepadaku. Adakah ini balasan yang Allah berikan kepadaku kerana menghancurkan hati seorang insan semulia Faizal yang telah pun pergi menemui Ilahi. Kini hanya gambarnya pengubat luka. Segala bicara romantis antara Faizal dan aku akan aku jadikan kenangan abadi dan buat Zaki seorang lelaki yang mengajar aku erti sebuah kehidupan dan peritnya cinta juga tidak sekali-kali aku melupainya. Akan aku jadikan panduan serta memori dalam hidup ini.

Ketika ini hanya Faizal dalam jiwaku…ke mana aku pergi pasti aku ingat padanya. Di dalam dompetku masih lagi ada gambarnya untuk tatapanku di kala sunyi dan aku tidak akan lupa menghadiahkan Al-Fatihah untuknya. Aku berdoa Zaki akan bertemu insan istimewa dalam hidupnya dan juga mengharapkan kebahagiaannya bersama insan yang dicintainya...Iza dan Zana kini sudah pun berkahwin dan yang paling nyata…akulah orang yang paling bahagia kerana kedua-duanya tidak menjadi milik Zaki.

Ploooopppp…keceburrrr…terkejut aku…seorang remaja terjun ke laut, perutku juga mula menyanyikan lagu irama dangdut…mahu makan rupanya. Aku melangkah pulang ke tempat letak keretaku “Kembara”. Dalam perjalanan ke kereta, aku menguatkan semangat “akan aku teruskan kehidupan ini dan mengejar cita-citaku dan aku tidak akan dan tidak mungkin berpaling lagi”.  Aku berselisih dengan seorang yang mirip Zaki atau sememangnya Zaki…dan sejurus itu aku tidak berpaling lagi.  

 

ke atas

ke Laman Karya