Warkah, Ceritera & Nostalgia

 

Assalamualaikum, sahabatku. Hai, terperanjat? Ingat aku lagi? Sudah kau lupa wajah teman mu yang satu ini? Sesungguhnya aku tidak pasti, pernahkah kita berutus warkah sebelum ini? Pernahkah kau membaca bingkisan warkahku dan aku pula menulis selembar warkah buatmu? Entah. Tapi, aku rasa, soal pernah atau belum itu tidak penting. Yang aulanya, kini kau sedang menatap warkah ku yang akan kau simpan sepanjang hayat sebagai kenang-kenangan. Justeru, terima kasih kerana sudi membaca warkah pertama dan terakhirku ini. Aku juga tidak tahu, apakah panggilan paling manja yang mahu ku ucap buat dirimu di sini. Kata mu, engkau menuntut di Tanah Seberang. Dan pacar lama mu tatkala di sana gemar memanggil engkau Um. Um? Pelik benar bunyinya. Macam bunyi gedegum aja. Tapi yang anehnya ku lihat kau begitu bangga bila dipanggil Um. Kalau begitu, aku akan membahasakan diri mu sebagai Um jugalah sepanjang penulisan warkah yang memeranjatkan mu ini.

Okey. Cerita apakah yang mahu ku ungkapkan buat mu? Cerita rumah kita yang berjiran di Pinggiran Sg. Chinchin itukah? Atau cerita jiran-jiran kita yang hantu Bollywood dan mabuk karaoke itu ? Atau cerita keaktifan PPU ? Atau cerita guru-guru pelatih wanita yang kau minati? Atau cerita rekod-rekod SPB kita (hehehe)? Atau cerita teman-teman yang bakal melangsungkan perkahwinan? Atau cerita kehebatan pensyarah yang menjadi idola mu? Atau cerita novel ku yang bakal diterbitkan? Atau cerita drama pantomim yang sama-sama kita pentaskan? Ya, banyak sungguh ceritera. Tapi aku telah memilih satu ceritera yang belum pernah kau dengar. Ceriteranya simple sahaja. Mahu tahu? Ia ceritera kelas seksyenku semasa di Diploma Pendidikan di UIA dulu. Ia suatu catatan nostalgia.

Um, kau tahu aku di seksyen berapa? Aku di Seksyen 7. Aku ulang, SEKSYEN TUJUH! Bagaimana aku boleh tercampak ke seksyen yang sungguh meriah itu, aku tidak tahu. Apa menariknya seksyen kami, hanya mereka seramai 30 orang (16 lelaki dan 14 wanita) yang berada di dalamnya saja yang mengetahui. Kalau tak percaya, kau boleh tanya pada Yahya Jamaluddin atau Zamri Jusoh yang pernah berebut mahu menjadi ketua kelas kami (dua-dua nak jadi ketua, tetapi tiada siapa yang mengalah). Sebagai orang tua yang telah lama merasai maung manisnya hidup berumahtangga, mereka berdua ni, kami anggap sebagai bapak. Yahya pendiam - duduk paling depan. Dan Zamri pembising - biasanya paling belakang, lantaran selalu datang lambat. Kalau mereka berdua sebagai bapak, Rohana Che Bedolah pula kami anggap sebagai mak. Mak kami ni sangat sporting. Ceria dan peramah orangnya. Mak selalu datang lewat sedikit ke kuliah sebab katanya kena terlebih dulu menghantar anak. Tambahan pula mak sedang membawa budak. Kesian mak! Sementara anak-anak seksyen ini yang berbagai-bagai kerenah lagi, cukup memeningkan kepalaku untuk ku ceritakan satu persatu. Tidak cukup ranjang warkah ini jika mahu kutuliskan segalanya. Sungguh nostalgik, kau tahu! Walau beberapa bulan cuma di dalam kelas ini, dari Jun 2000 hingga Februari 2001, sudah cukup untuk aku mengingati nama ahli kelas ini. Dalam seramai 16 orang pemuda yang mendiami seksyen ini, beberapa orang daripadanya telah berada di alam lain. Bolehkah kita golongkan mereka ini sebagai golongan tua? (jangan marah!). Antaranya, Kapten Sahudin, Mustaffa, Tengku Zahid, Wan Suhardi, dan Roslan. Yang lain macam Idham, Yazid, Jauhari, Khairul Amin, Sapri, Norazamudin, Syarizal, Suhaimi, Nasaruddin semuanya masih bujangan ketika itu. Dalam seramai 14 orang pemudi, ada juga yang telah menjadi ibu orang. Tetapi seperti engkau juga, Um, aku kadang-kadang keliru yang mana satu isteri orang atau yang masih solo. Payah mahu dibezakan! Dan setelah berakhirnya diploma, aku tidak tahu lagi ke mana perginya Al Najihah, Mazidah, Najdah, Suriawati, Sazilawati, Shukeriah, Siti Sarwani, Siti Noriani, Suzaini, Wan Roslina, Zamila, Zailawati, dan Zuzita. Benarlah kata seorang pensyarah, selepas berakhirnya Khemah Ibadat 2, sampai mati pun belum tentu kita akan bertemu semula kenalan lama.

Sahabatku Um,

Kau tahu, banyak faktor yang menyebabkan kelas ini meriah. Faktor utamanya tentulah keramahan kami semua. Tanyalah Puan Suhaila yang pernah mengiktiraf kelas kami sebagai seksyen paling aktif dan membuatkan beliau tidak kering gusi. Barangkali Suriawati bolehlah dinobatkan sebagai siswi teraktif, dan Syarizal bagi siswa. Mereka berdua ni banyak sangat menyoal dan memberi argumen. Bukan sekadar komplimen, namun kelas ini sebenarnya hampir lengkap dan hidup. Pelawak kelas ini pun ramai macam Tengku Zahid, Zamri, dan Sapri. Bila ditanya soal agama, kami ada empat orang pakar rujuk iaitu Khairul Amin dan Norazamudin, atau Al Najihah dan Siti Sarwani. Bila diminta berpuisi atau berkawad, kami ada Kapten Sahudin si penyair jalanan. Kami ada Yazid yang mahu jadi penulis. Kami ada Jauhari yang boleh bernasyid dan bergendang. Kami ada Nasaruddin yang fasih berbahasa Jawa; ada Zuzita dan Sapri yang boleh berbahasa Indonesia, dan ada Roslan yang fasih berbahasa Arab kerana isterinya mek Arab. Dan kami juga ada Mustaffa yang boleh bertaichi dan bersilat. Agaknya, saat bilakah paling diingati dalam kelas ini, Um? Sesungguhnya ramai di antara kami tidak dapat melupakan detik lucu tatkala kelas Sosiologi bersama Pok Nik. Kami dikehendaki berlakon di depan kelas mengikut kumpulan. Ramai rupanya yang berbakat jadi pelakon seperti Jauhari (aktor terbaik!), Syarizal, Nasaruddin, Suzaini (aktres terbaik!), Siti Noriani, Rohana dan beberapa lagi. Kreatif sungguh mereka ini, dari babak gadis nakal dan cikgu rimau hinggalah ke babak sensor Fakhrul-Sarimah dalam pawagam pun turut dilakonkan! Pok Nik di belakang pun hampir pecah perut ketawa.

Um, sewaktu membaca warkahku ini kau mengajar di mana? Harap-harap tidak ke Bangladesh atau Danau Toba sudahlah ya. Sabah dan Sarawak tu masih dikira dekat lagi. Walaupun sudah berjauhan begini, aku tetap ingat jasa pensyarah-pensyarah yang pernah mengajar kami. Tidak tahu rasanya cara untuk kuucapkan terima kasih kepada mereka. Antaranya, Dr. Ismail Sheikh Ahmad (ISA) yang mengajar Pedagogi (setiap kali membuat RM aku terbayang mukanya). Juga Dr. Zaleha Izhab (Psikologi) cukup mengingatkan aku pada Helah Bela Diri; Puan Suhaila Hussien (Falsafah) yang bersemangat mengajar meskipun sedang sarat malah betah dengan kenakalan kami; Bro. Azam Othman (Tasawwur) yang sporting dan ceria; Puan Haniza Rais (Kurikulum) yang selalu senyum dan tertawa; dan pastinya tidak melupakan ayahanda kami - Pok Nik (Dr. Nik Ahmad Hisham Ismail) yang sering memberikan kasih sayang dan suntikan stimulus serta anjakan paradigma kepada kami. Biarpun terpaksa berulang-alik ke Terengganu setiap minggu, Pok Nik tetap sabar dan setia memilih bersama Seksyen 7. Alahai Um, aku mulai mengantuklah. Sekarang sudah jauh tengah malam. Warkah ini makin seronok kutulis tapi isteriku sudah memanggil-manggil di dalam. Nampaknya ada permintaan. Lantas, terpaksalah nostalgia indah semasa kita di UIA dulu kubantutkan di sini.

Akhirulkalam, aku harap kau tekal dalam perjuangan dan cekal dalam kehidupan. Profesion guru inikan kerjaya termulia. Jadikan ia saham kita di akhirat. Um, moga kau gembira-bahagia di samping isteri (jadi juga kau dengan dia tu?) dan anak-anak. Wah! Dengarnya produktif sungguh kau sekarang. Apa petuamu dapat kembar berderet setiap tahun macam padi malinja? (Hahaha!). Doakan aku juga. Jumpa lagi.

Wassalam.  

Tahniah dan Syabas kepada Saudara Yazid kerana novelnya 'Sesegar Nailofar' memenangi tempat ketiga Pertandingan Novel anjuran Utusan Malaysia tahun 2001

 

 

ke atas

ke Laman Karya