Kata-Kata Aluan Penyelaras Program

 

Assalammualaikum wrt. wbt.

Syabas kepada seluruh warga sidang redaksi Persatuan Pendidik Ummah Sesi 2000/2001 di atas usaha, kesungguhan dan kejayaan menghasilkan majalah tahunan ini. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalas segala pengorbanan yang dicurahkan.

Saya percaya di sepanjang program keguruan ini bakal pendidik telah dapat menimba banyak bekalan ilmu pengetahuan sama ada ianya bersifat teori mahupun praktis untuk dikongsi bersama dengan bakal anak didik kelak. Abad 21 ini memerlukan pendidik yang berketerampilan sama ada dari segi penguasaan ilmu, kaedah penyampaian, pembelajaran dan pengajaran dan juga sebagai 'role model' terbaik bagi pemupukan budaya cintakan ilmu khususnya di sekolah mahupun di dalam masyarakat amnya. Ini amat penting untuk melahirkan generasi berfikir dan sekaligus membentuk acuan budaya kritis dan kreatif sejajar dengan perkembangan minda anak didik anda. Dewasa ini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran pembangunan sosial, ekonomi, teknologi dan sebagainya. Penyampaian ilmu tanpa pemupukan sejati budaya kreatif dan kritis di dalam minda pelajar boleh menghasilkan sesuatu keadaan keaplaan/ketidakpekaan minda mereka untuk merenung dan bertindak sama ada secara proaktif mahupun reaktif terhadap sesuatu situasi yang dihadapi. Adalah menjadi tanggungjawab guru mengolah isi pelajaran agar ianya merangsang budaya berfikir yang membina.

Sebagai pendidik kita bertanggungjawab mencorakkan generasi yang berketerampilan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Oleh itu jadilah muaddib yang bijak membentuk insan yang beriman, berilmu dan beramal berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Saya ucapkan selamat maju jaya sebagai pendidik yang berwawasan untuk kesejahteraan ummah. Akhir kata renungkanlah kata-kata Imam Al-Ghazali berikut,

                "…..apabila seseorang mu'allim(pengajar) mengumpulkan tiga perkara, maka sempurnakanlah nikmat kepada pengajarnya iaitu; sabar, merendah diri dan baik budi. Dan apabila seorang pelajar(muta'allim) mengumpulkan tiga perkara, maka sempurnakanlah nikmat kepada pengajarnya iaitu; berakal, beradab dan berfaham baik."

        (Jiwa Agama, Ihya Ulumuddin: m.s 285)

 Wassalam.

DR ISMAIL SHEIKH AHMAD

Penyelaras 

Program Diploma Pendidikan UIAM

Sesi 2000/2001

 

 

Kata-Kata Aluan Rektor

Kata-Kata Aluan Dekan

Kata-Kata Aluan Presiden PPU

Kata-Kata Aluan Ketua Editorial

Ke Laman Utama