Kata-Kata Aluan Rektor

 

 

Assalamualaikum wrt wbt

Segala puji dan puja bagi Allah Pencipta Alam Semesta. Selawat dan Salam kepada Nabi Muhammad S.A.W, Rasul Yang Mulia. Doa restu kepada Muslimin dan Muslimat yang berusaha membangunkan ummah dan agama Allah. Ucapan terima kasih kepada Biro Penerbitan PPU yang telah memberi kesempatan kepada saya untuk merakamkan sepatah dua kata di dalam Majalah Pendidik Ummah bagi Sesi 2000/2001.

Tidak dinafikan pendidikan merupakan nadi kepada sesuatu umat. Kejayaan, kecemerlangan, kegagalan atau kemalapannya adalah berpunca daripada bentuk pendidikan yang disajikan kepada generasi muda yang bakal menjadi pencorak ummah atau masyarakat pada masa akan datang.

Sebagai pendidik, seharusnya kita sentiasa bergerak dinamik supaya tidak ketinggalan dalam kepesatan pembangunan pendidikan sejagat di samping terpaksa menghadapi pelbagai cabaran kerjaya. Pendidik tidak boleh lari daripada hakikat bahawa proses pendidikan itu sendiri penuh dengan cabaran. Di satu pihak, kita ingin melakukan perubahan yang besar anjakan paradigma dan lonjakan saujana yang sesuai dengan perubahan global serta tuntutan pembangunan sejagat. Tetapi pada masa yang sama di  pihak yang lain, kita perlu mengekalkan asas yang penting bagi menjamin kesinambungan dan mengekalkan keperibadian, nilai serta identiti setempat dalam pembentukan sebuah negara bersama bangsa yang berdaulat dan mempunyai maruah serta harga diri. Pendidik turut bertanggungjawab serta mempunyai komitmen besar dan penting bagi melahirkan insan sempurna yang mendapat bimbingan keilmuan yang mencukupi seterusnya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara. Pendidik pada hari ini harus menerima hakikat bahawa keadaan ruang dan persekitaran kerja semakin sesak, persekitaran sosial dan nilai banyak berubah serta kurikulum semakin berat dan mencabar. Oleh itu mereka haruslah mempersiapkan diri bagi menghadapi apa saja cabaran yang bakal ditempuh di dalam bidang pendidikan.

Akhir kata saya mengharapkan agar guru-guru pelatih sekelian menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi serta semangat yang tinggi seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Wassalam. 

 

PROF M.KAMAL HASSAN

Rektor

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

 

Kata-Kata Aluan Dekan

Kata-Kata Aluan Penyelaras

Kata-Kata Aluan Presiden PPU

Kata-Kata Aluan Ketua Editorial

Ke Laman Utama