Kata-Kata Aluan Dekan

 

Assalamualaikum wrt wbt

Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana kudrat dan iradatNya saya masih diberi kekuatan untuk menjalankan segala amanah yang dipertanggungjawabkan.

Seterusnya saya mengucapkan syabas kepada Persatuan Pendidik Ummah (PPU) di atas usaha gigih mereka menerbitkan majalah tahunan pada kali ini.  InsyaAllah mungkin ini kali terakhir pihak PPU akan menerbitkan majalah yang seumpama ini kerana seperti yang sedia maklum bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir kursus Diploma Pendidikan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).  Oleh itu diharapkan agar terbitan majalah pada tahun ini dapat memberi manfaat dan kenangan kepada setiap pembacanya.

Seperti yang kita tahu profesion perguruan merupakan satu kerjaya yang amat dipandang mulia oleh masayarakat.  Malah Islam mengangkat darjat yang tinggi bagi orang yang menyebarkan ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain.  Sehubungan dengan itu aspek kewibawaan dan profesionalisme menjadi kayu ukur utama untuk meneruskan tradisi kemuliaan serta ketinggian martabat bidang keguruan di mata masyarakat. 

Pendidik perlu sentiasa membuat persediaan awal untuk menghadapi cabaran perkembangan zaman yang sekaligus membawa perubahan pesat dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan.  Ini bermakna bahawa setiap pendidik perlu mempertingkatkan ilmu, kecekapan dan kemahiran di samping membangun serta mengamalkan sikap diri yang dapat dijadikan contoh dan juga teladan kepada anak didik.  Kemampuan menangani cabaran itu penting untuk memastikan perlaksanaan program pendidikan negara sentiasa berterusan dan relevan bagi memenuhi keperluan negara dan ummah.

Walaupun seringkali kewibawaan pendidik dipersoalkan kerana gagal membangunkan potensi serta keperibadian pelajar tetapi ia tidak mematahkan semangat para pendidik malah akan menjadi penjana semangat dan iltizam mereka untuk memertabatkan kerjaya ini secara bersepadu, menyeluruh dan komprehensif.

Akhir kata saya mengharapkan agar semua guru pelatih bakal mendidik anak bangsa supaya mempunyai tahap ketabahan, kecekalan serta kekuatan dalaman dan luaran yang jitu bagi melaksanakan amanah serta tanggungjawab agar mencapai kejayaan pada tahap yang maksimum.  Bersama-samalah kita memohon taufiq dan hidayahNya agar kita sentiasa didorong ke arah jalan yang benar dan diredaiNya.

 Wassalam.

Prof Madya Dr Mohamad Sahari Nordin

Dekan Kulliyyah Pendidikan

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

 

Kata-Kata Aluan Rektor

Kata-Kata Aluan Penyelaras

Kata-Kata Aluan Presiden PPU

Kata-Kata Aluan Ketua Editorial

Ke Laman Utama